Bagi yang ingin atau sedang merancang untuk bercuti ke negeri Terengganu pastikan anda tidak melepaskan peluang merasai makanan yang ada di bawah ini. Ini kerana, kesemua makanan ini adalah makanan yang sangat popular bagi masyarakat Terengganu. Boleh dikatakan percutian anda tidak lengkap jika tidak merasai kesemua makanan di bawah ini.
KEROPOK LEKOR
Keropok lekor adalah salah satu makanan yang terkenal di Terengganu dan sememangnya berasal dari negeri Terengganu. Malah Terengganu merupakan pengeluar utama keropok lekor di Malaysia.
Keropok lekor merupakan makanan tradisi bagi rakyat Terengganu kerana ianya merupakan makanan yang diwarisi sejak zaman berzaman. Hal ini kerana Terengganu kaya dengan hasil laut iaitu ikan yang merupakan bahan utama dalam proses membuat keropok lekor. Tempat-tempat yang terkenal di Kuala Terengganu yang menjual keropok lekor adalah di Losong dan Seberang Takir. Namun di Kemaman juga ada tempat yang terkenal dalam penjualan keropok lekor iaitu di Kg. Geliga.
NASI DAGANG
Nasi dagang seringkali dijadikan makanan sarapan pagi di negeri Terengganu. Secara tradisional, nasi dagang dibungkus di dalam daun pisang berbentuk kon dan diikat dengan menggunakan lidi. Kalau di Kuala Terengganu, antara kedai makan yang popular dengan nasi dagang Terengganu ialah di Kedai Nasi Dagang Mak Ngah dan juga Nasi Dagang Kak Pah di medan selera Batu Burok. Kalau di Dungun, salah satu kedai yang sedap nasi dagangnya ialah di Warung Pak Din.
NASI LEMAK IKAN TONGKOL
Nasi lemak sememangnya makanan yang terkenal di Malaysia. Malah setiap negeri mempunyai cara yang tersendiri dalam penyediaan nasi lemak tersebut. Jika nasi lemak Negeri Sembilan sambalnya menggunakan sambal bawang dimana dalam sambal tersebut mempunyai bawang merah yang sangat banyak. Jika di Kelantan, nasi lemak dimakan dengan sambal ikan bilis. Namun berlainan pula dengan nasi lemak negeri Terengganu dimana nasinya dimakan bersama dengan sambal ikan tongkol atau lebih dikenali dengan "sambal ikan aya".
KETUPAT SOTONG
Ketupat sotong ini merupakan makanan tradisional Terengganu. Sotong akan disumbat dengan beras pulut dan dimasak secara berkuah lemak. Hidangan ketupat sotong kebiasaannya dimakan dengan nasi putih. Ada juga sesetengah kedai yang menjual ketupat sotong ini sebagai hidangan santai waktu petang hari. Di Terengganu menu lauk ketupat sotong lebih dikenali dengan nama "tuppt sutong" atupun "sutong sumbak".
LAKSA TERENGGANU
Seperti di negeri lain, menu laksa di Terengganu mempunyai keunikannya terendiri terutamanya pada kuahnya. Disini terdapat 2 jenis kuah iaitu kuah putih dan kuah merah. Kuah putih rasanya lebih berlemak dan mempunyai rasa ikan yang kuat manakala kuah merah pula lebih pedas dan berempah.
SATA
Sata merupakan makanan yang menjadi ikon utama bagi daerah Kemaman. Banyak kedai disi yang menjual sata dan sering menjadi makanan santai waktu petang. Seperti juga otak-otak, ianya diperbuat daripada isi ikan dan dibaluti dengan daun kelapa dalam bentuk kon. Namun rasanya memang berbeza dengan otak-otak.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan